Saturday, December 4, 2010

~Apabila tiang Agama tidak ditunaikan~

Solat adalah suatu kewajipan yang wajib dilakukan oleh semua umat Islam, tidak kira ianya miskin,kaya,hamba atau merdeka, lelaki mahupun wanita untuk melakukannya.
Sabda Rasulullah SAW:
“Ditegakkan Islam atas lima perkara : pengakuan syahadah iaitu tiada Tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah, pengakuan bahawa Nabi Muhammad itu Rasulullah, mendirikan sembahyang,mengeluarkan zakat, menunaikan fardhu haji dan berpuasa dibulan ramadhan”.
 
Hadis di atas menjelaskan kepada kita bahawa kewajipan solat amat penting dalam kehidupan seharian bagi setiap individu muslim. Bagi mereka yang meninggalkan solat adalah berdosa besar kerana ia menjadikan seseorang itu tidak ada keislamannya kecuali mengerjakan solat pada setiap waktu disamping menunaikan rukun Islam yang lain. Dalam ertikata lain, rukun Islam mestilah dikerjakan dan wajib menjadikannya sebagai amalan harian yang berkekalan, supaya tidak cacat sifat keislamannya sebagai seorang muslim.
Namun masih ramai dikalangan masyarakat Islam pada hari ini mengabaikan suruhan solat ini. Malah ada yang tidak pernah solat selama hidupnya. Masyaallah. Mereka sering melakukan perbuatan-perbuatan yang ditegah oleh Islam seperti minum arak, judi, sabun ayam, menipu dan sebagainya. Selain itu, ada juga yang sengaja melengah-lengahkan solat. Mereka lebih pentingkan menonton televisyen daripada melakukan suruhan Allah itu yang berupa tiang kepada agama Islam.
Berhubung dengan meninggalkan solat, terdapat satu kisah yang menarik untuk dikongsikan bersama sebagai iktibar bagi kita yang bergelar orang Islam yang mengaku bahawa tiada Tuhan selain Allah, dan Nabi Muhammad SAW adalah pesuruh Allah.
Kisah ini berlaku pada zaman Rasulullah. Di mana ada seorang anak muda telah berjumpa dengan Rasulullah SAW sambil menanggis, pada ketika itu Rasulullah SAW sedang duduk bersama sahabat-sahabat yang lain.
“Mengapa engkau menangis wahai anakku?” tanya Rasulullah SAW.
“Ayahku telah meninggal tetapi tiada seorang pun yang datang melawat. Aku tidak mempunyai kain kafan, siapa yang akan memakamkan ayahku dan siapa pula yang akan memandikannya?” Tanya anak itu dengan perasaan sedih.
Apabila mendengar rintihan anak muda itu, maka Rasulullah SAW dengan segera memerintahkan sahabatnya Abu Bakar dan Umar untuk pergi melawat jenazah itu. Apabila sampai di sana, betapa terperanjatnya Abu Bakar dan Umar, melihat mayat itu berubah menjadi seekor babi hutan. Kedua sahabat itu lalu segera kembali memberitahu kepada Rasulullah SAW apa yang mereka lihat .
Maka Rasulullah SAW pun datang sendiri ke rumah anak itu. Didoakan kepada Allah SWT sehingga babi hutan itu kembali berubah menjadi jenazah manusia. Kemudian Nabi menyembahyangkannya dan meminta sahabat untuk memakamkannya. Betapa hairannya para sahabat, ketika jenazah itu akan dimakamkan berubah kembali menjadi babi hutan.
Melihat kejadian itu, Rasulullah SAW menanyakan anak muda itu apa yang dilakukan dan dikerjakan oleh ayahnya selama hidupnya di dunia.
“Ayahku tidak pernah mengerjakan solat selama hidupnya,” jawab anak itu.
Kemudian Rasulullah SAW telah bersabda kepada para sahabatnya, “Para sahabat, lihatlah sendiri. Begitulah akibatnya bila orang meninggalkan solat selama hidupnya. Ia akan menjadi babi hutan di hari kiamat.”
Kisah di atas menunjukkan kekuasaan Allah SWT. Di atas dunia lagi telah ditunjukkan balasan bagi orang yang meninggalkan solat. Oleh itu, marilah sama-sama kita mengambil iktibar daripada kisah tersebut. Mudah-mudahan kita menjadi hamba Allah yang sentiasa taat kepada perintah-NYA dan meninggalkan segala larangan-NYA iaitu menunaikan kewajipan solat lima waktu dan suruhan-suruhan lain.